Thursday, July 23, 2009

Perjalanan di alam barzah (sebuah mimpi benar)

Assalaamu`alaikum Sahabat Taman2 Syurga

Saya paparkan pengalaman dari mimpi saya untuk dikongsi bersama.

Semoga kita beroleh taufik dan hidayah dari Allah s.w.t. Wassalam.

Tarikh : 2 November 1992
Masa : Di antara jam 3.00 - 3.30 pagi
Tempat : Taman Pekaka, Jalan Sg. Dua, Pulau Pinang
Sekitaran : Sunyi dan tenang
Perkara : Mimpi peristiwa di Alam Barzah

Mimpi bermula dalam keadaan aku baru tiba di alam barzah menemui sekumpulan lima atau enam orang rakan-rakan se pejabat ku yang telah "mendahului" aku. Kumpulan ini sedang duduk berbual di halaman sebuah tempat terbuka lengkap dengan kerusi dan meja yang diperbuat dari kayu. Sekitaran serba berwarna warni seperti di dunia, tenang dan awan mendung kemerahan tetapi tidak panas.

Mereka menegur aku dan berjabat tangan dan mengalu-alukan kedatangan ku. Apa yang aku masih ingat, ada seorang di antara mereka berkata `aku nampaknya tidak seperti dulu, diam sahaja dan aku menjawab `maklumlah tempat berbeza' dalam nada yang tidak teratur seperti masih terkejut dan tergamam. Aku gagah senyum sinis. Kemudian masing-masing bertanya khabar dan bercerita tentang bagaimana menemui `maut' (nota: aku tak ingat bagaimana dan siapa yang bercakap; ada yang mati kerana penyakit, kerana kena kilat, kejutan letrik dan aku tidak menceritakan bagaimana aku mati).

Kemudian apa yang aku ingat aku dibawa oleh seorang "Pengawas" lelaki yang berkemeja dan berseluar panjang putih macam pembantu hospital memegang pen dan satu senarai nama di atas papan tulis (file keras) masuk ke sebuah bangunan seperti rumahpangsa. Naik tangga ke tingkat satu dan ditunjukkan sebuah pintu bilik bernombor 205, bilik aku. Di dalamnya seperti asrama universiti atau bilik hotel, ada dua buah katil bujang lengkap dengan tilam, almari baju dan meja hias. Lampu di siling sederhana tetapi terang dan keadaan bilik kekuningan emas.

Aku turun ke bawah bertemu semula dan berbual dengan sahabat-sahabat. Aku bertanya "apa yang kita nak buat di sini", seorang sahabat berkata "di sini bukan tempat nak buat ibadat, semua dah tak dikira, hanya tempat menunggu yang lain-lain akan tiba; apa yang kita hendak semuanya ada di sini. Kita duduk bersembang sajalah. Kalau masa hidup banyak kebajikan, di sini tak susahlah!"

Aku naik semula terlajak sampai ke tingkat dua dan tiga, jumpa bilik no. 207 dan 208. Aku turun pula dan jumpa bilik mekanikal (generator) mungkin basement. Aku naik se tingkat dan buka pintu tetapi rupanya bilik mesyuarat atau bilik bacaan. Dari daun pintu yang terbuka sikit, ternampak sahabat se pejabat ku, pakai kot dengan neck-tie (seperti pakaiannya semasa di pejabat) sedang membaca surat kabar atau file bersama beberapa orang lagi di dalamnya, aku tidak mahu mengganggu dan terus mencari bilik 205.

Aku ketemu bilik aku dan daun pintu terbuka sedikit, nampak cahaya lampu keluar dari bilik aku; ada room-mate baru sampai. Bersalaman dan berkenalan. Orangnya rendah tetapi berbadan tegap, berkaca mata, bermisai dan berjanggut; wajahnya macam masih dalam keadaan terkejut. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Shaharuddin Sudin (atau Samsudin, aku tidak ingat!) dan bekerja di pejabat Audit/Kewangan di KOMTAR dalam nada suara gagap dan tersekat-sekat. Aku kata "kalau tak silap kita pernah bercakap di dalam telefon tetapi tidak pernah bersua muka". Pada masa ini, seorang rakan sepejabat ku, Hassan lalu dan menjenguk ke bilik aku. Menegur aku dan aku perkenalkan kawan sebilik ku. Beliau mengajak aku ke bilik seorang lagi sahabat baik kami, Mahadi. Dia ada di dalam bilik, duduk di bucu katil. Bilik mewah kekuningan emas. Penuh lampu gantung dan lampu dinding macam hotel mewah. Di atas meja hias (cermin muka besar) terdapat sedozen kotak filem kamera Fuji masih dalam bungkusan plastik. Aku berkata kepada Mahadi, "amboi banyaknya filem". Mahadi menjawab sambil tersenyum, "untuk kenangan anak cucu aku".

Kemudian aku bersama ke laman bersama se kumpulan rakan kenalan. Aku bertanya, "di sini ada malam kah?" Mereka menjawab dengan senyuman dan aku faham jawapannya. Pada masa ini aku terdiam sebentar kerana teringatkan isteri dan anak-anak aku yang ditinggalkan. Aku berkata di dalam hati "pasal itulah sebelum mati aku berpesan-pesan kepada isteriku".

Aku balik ke bilik, salin pakaian pakai seluar pendek, singlet putih dan turun semula ke padang lakukan beberapa gerakan senaman (tidak berpeluh tetapi terasa dingin). Berhampiran tempat aku bersenam, terdapat dua kumpulan kanak-kanak perempuan dalam usia 7 hingga 10 tahun membuat dua bulatan berpakaian seperti uniform sekolah; satu kumpulan berbaju putih berjalur biru dan satu kumpulan berbaju putih berjalur hijau sedang menyanyi dan bersenam di awasi oleh dua orang guru wanita berdiri di tengah.

Aku menghampiri rakan-rakan pejabat bersembang di kerusi meja rehat di halaman (nota: tiada makan atau minum). Sepasang lelaki dan perempuan melintas di hadapan kami berpegangan tangan dan tersenyum riang. Salah seorang kawan menceritakan bahawa mereka adalah suami-isteri; si isteri meninggal dahulu kerana bersalin dan si suami baru "sampai". Aku mengeluh sebab tak tahu nak buat apa dan sampai bila hendak duduk macam ini? Kemudian aku beri cadangan elok kita berbuat sesuatu. Salah seorang kawan menjawab "apa yang hendak dibuat, disini bukan tempat ibadat semua tak kira dah dan bukan ada malam". Aku perhati ke `langit' dan cuaca seperti keadaan senja serta redup dan tenang sekali (tidak panas). Aku perhati di hadapan, jalanraya luas tanpa kenderaan dan di kiri kanannya tanah lapang kemerahan serta kontang. Kemudian aku memberi cadangan, "kan elok kalau ada kompleks perniagaan ka, rumah kaa di sana?" sambil mengunjurkan kedua-dua tangan ke arah padang lapang tadi ..... tiba-tiba tersergam sebuah kompleks dan pangsapuri di atas tanah lapang tadi (nota: seperti projek Hamna di Jalan Sungai Dua). Aku terkejut seketika.

Aku bersembang dengan seorang sahabat karib aku, Ghazali dan berkata "subhaanallah, sodaqa rasulullah," (Maha Suci Allah dan memang benarlah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.). Ghazali bertanya kenapa aku berkata demikian. Aku kata, aku pernah membaca sebuah hadith; apabila seorang Islam meninggal dunia, pertama sekali saudara mara akan datang berjumpa dan bertanyakan khabar orang yang ditinggalkan, kemudian akan datang sahabat-sahabat pula bertanyakan yang sama. Apa yang aku ingat, ada sesuatu perkara yang kami tidak sefahaman mungkin tentang kesahihan hadith tersebut. Aku kata kepada Ghazali; itu hadith, tak kiralah sahih ka tidak, sebab itu aku kata Subhaanallah, aku puji Allah. Ghazali diam dan tersenyum. Kawan-kawan yang lain turut tersenyum.

Aku terpandang kepada seorang lagi sahabat se pejabatku bermisai tebal sedang duduk berseorangan di satu penjuru meja. Wajahnya seperti dilindung bayang. Aku menghampirinya dan kami berbual tentang satu perkara yang serius (nota: aku tak ingat perkara apa). Akhirnya, Kamaruzaman tersenyum sedikit dan menjawab "tak dak apalah, biasalah" (perkataan yang selalu diucapkan di dunia).

Aku terjaga dalam keadaan kaki tangan sejuk dingin dan kaku. Syukur kerana masih di alam dunia bukan di Alam Barzah. Lihat jam dinding pukul 3.30 pagi. Terus aku menulis peristiwa mimpi ini di atas kertas sebelum terlupa. Ringkasnya, di dalam mimpi ini, suasana tenang, tidak makan dan minum, tiada bilik air (tidak mandi atau buang air) dan setiap karakter sahabat adalah sama seperti ketika hidup. Walau bagaimanapun, saudara mara ku tidak wujud dalam mimpi ini.

Nota :

1. Segala yang tertulis di atas bukanlah cerita rekaan tetapi mimpi yang dialami sendiri oleh ku. Aku harap jangan ada sesiapa yang membaca dan cuba mentakrifkan mimpi ini kecuali yang mempunyai ilmu tentangnya. Dengan Allah kami berlindung dan kepada Allah kita akan kembali.

2. Pada 24 April 1994, aku menghadiri kursus di INTAN, Bukit Kiara, KL dan aku ditempatkan di bilik no. 205!

3. Pada 13 Jun 1994, aku menghadiri kursus anjuran pejabatku, "Pengurusan Masa Berkualiti" di Hotel Park Inn, Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Pengurusan hotel memberi sebuah bilik untuk sembahyang. Bilik tersebut bernombor 205!

4. Pada 12 Mac 2002 musim kerja haji, aku dan isteriku berpindah dari bilik no. 206 ke bilik no. 205, Hotel New Safa, Makkatul Mukarramah kerana alat hawa dingin bilik 206 rosak. Pada 15 Mac 2002, check in di bilik no. 215 (hampir dengan 205), Kandara Palace Hotel, Jeddah untuk satu malam sahaja sebelum berlepas balik ke Malaysia. Semuanya diatur dan dalam perancangan Allah s.w.t.

PETIKAN HADITH NABI S.A.W.

Dari Abu Qatabah r.a. katanya, "Nabi saw. bersabda, "Mimpi yang baik dari Tuhan, dan mimpi yang buruk dari syaitan. Apabila seseorang di antara kamu memimpikan suatu mimpi yang menakutkannya, hendaklah ia meludah ke sebelah kirinya, dan mohon berlindung kepada Tuhan daripada bahaya. Sesungguhnya dengan demikian, nescaya tidak akan membahaya-kan kepadanya."
- SHAHIH BUKHARI

dr tmn2syurga

No comments: